09 June 2010

REFLEKSI TUGASAN BLOG

REFLEKSI
NAMA : MOHD ISMAIL BIN SULAIMAN

Dalam usaha menyiapkan tugasan ini saya memanjatkan syukur kepada Allah S.W.T dengan rahmat dan nikmat yang diberikan. Alhamdulillah berkat usaha yang gigih serta bantuan pensyarah pembimbing akhirnya tugasan membuat blog sendiri tercapai dengan jayanya. Saya berdebar-debar apabila mendapat tugasan ini dan tertanya-tanya adakah saya mampu membuatnya dengan baik kerana tidak mempunyai pengalaman sebelum ini. Setelah banyak meneroka dan mencuba saya berasa seronok membuatnya lebih bersungguh-sungguh dalam menyiapkan tugasan ini.

PERKARA YANG BOLEH SAYA PERBAIKI
Banyak perkara yang boleh saya perbaiki hasil pembelajaran daripada tugasan ini. Saya harus menambahkan lagi pengetahuan dan masih terlalu banyak perkara yang saya belum terokai dan ketahui. Terutamanya di bahagian memuat turun dan menyusun data supaya kemas dan mesra pengguna. Saya harus memperbaiki cara penyampaian supaya pengguna mudah faham dan boleh menggunakan aplikasi yang disediakan tanpa sebarang kekeliruan atau masalah lain.

KEKANGAN ATAU CABARAN
Masalah yang agak rumit juga bagi saya untuk mendapatkan video. Ini kerana video yang saya muat turun menggunakan perisian yang berbeza. Sama juga ketika saya ingin meletakkan audio dalam blog. Setelah mencuba dengan kaedah cuba jaya akhirnya terhasil juga walaupun tidak begitu baik. Sememangnya lazim jika terdapat cabaran yang dilalui. Namun mujurlah ada pensyarah pembimbing unit kami yang telah banyak membantu. Beliau sentiasa meluangkan masa untuk saya dan rakan-rakan bagi menghuraikan kekusutan yang kami alami. Bagi memastikan aplikasi ini benar-benar sesuai saya harus menitikberatkan pada bahagian bagaimana blog ini dapat membantu untuk pembelajaran.

PERSEDIAAN DAN PENAMBAHBAIKAN
Banyak persediaan dan penambahbaikan yang dilakukan dan alhamdulillah segala masalah dapat diatasi dengan baik. Bermacam-macam perasaan yang saya alami semasa menyelesaikan tugasan ini. Apabila terpaksa melalui masalah-masalah yang rumit tentu sahaja hati berasa sungguh bimbang dan sedih. Namun apabila telah diajarkan cara yang betul dan pensyarah pula menarik minat saya dengan menunjukkan contoh-contoh aplikasi lain hati mula berasa teruja untuk menyiapkan tugasan ini. Apa yang diharapkan semoga ianya tidak disalah gunakan oleh pengguna di luar sana.

KEFAHAMAN BARU,KESEDARAN DAN PERASAAN
Sebelum membuat aplikasi multimedia ini Tuan Dr. Haji Kamarudin bin Hj. Abu Hassan telah menyediakan satu jadual yang sangat bersistem agar tugasan yang akan kami lakukan nanti lebih tersusun. Di sini saya mendapat pengajaran dan kesedaran yang sangat berharga. Setiap apa yang kita ingin lakukan haruslah mempunyai jadual penyusunan yang baik. Jadual itu pula mestilah dipatuhi maka kita akan dapat memudahkan kerja kita. Ianya tidak akan menjadi kelam kabut dan juga dapat mengelakkan ralat-ralat yang tidak diingini. Saya telah berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi menyiapkan aplikasi ini. Seterusnya saya bertawakal kepada Yang Esa. Semoga aplikasi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua terutamanya kepada golongan sasaran.

0 comments:

Post a Comment