15 December 2009

Rujukan Ilmiah - Contoh Pengacaraan Majlis




Assalamualaikum..

Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan yang sudi melayari laman Blog saya. Untuk julung kalinya di sini saya menyenaraikan ruangan ilmiah untuk rujukan semua. Diharap ianya dapat dikongsi bersama..


TEKS PENGACARAAN
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1429H/2007
SEKOLAH AGAMA BANDAR RENGGAM, KLUANG, JOHOR
5 JULAI 2008 (SABTU)
MASA : 8.00 PAGI

Masa : 8.00 Pagi
Que : Pengumuman
Makluman : Kepada semua hadirin dipersilakan untuk mengambil tempat di dalam dewan kerana majlis akan dimulakan sebentar lagi
Tindakan : Mohd Ismail Bin Sulaiman

Masa : 8.15 Pagi
Que : Pengumuman
Makluman : Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Tuan Hj. Onn Bin Mohd Yasin, ADUN Kawasan Layang-layang, Tuan Haji Musa Bin Omar Pegawai Pendidikan Agama Daerah Kluang diiringi oleh dif-dif kehormat.
Tindakan : Mohd Ismail Bin Sulaiman

Masa : 8.30 Pagi.
Que : Ucapan aluan pengacara majlis

Assalamualaikum w.b.t...Yang dihormati Tuan Hj. Musa Bin Omar, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Kluang, yang berusaha Puan Guru Besar Ustazah Ruslinah Binti Kamsan, yang berusaha Tuan Hj. Abu Samah Bin Abdul Jalil Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Renggam serta ahli jawatankuasanya, guru-guru , pelajar-pelajar dan hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia serta keizinanNya sekali lagi pada tahun ini dapat kita mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul sempena memperingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Seperti yang telah dimaklumkan , Majlis pada hari ini adalah majlis bersama iaitu Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Anugerah Cemerlang Sekolah Agama Bandar Renggam bagi tahun 2007.

Selamat datang diucapkan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua para jemputan kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini, semoga majlis yang diadakan pada hari ini dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya.
Tindakan : Mohd Alhafiz Bin Sirat

Masa : 8.35 Pagi
Que : Bacaan Al-Quran dan Doa
Makluman : Hadirin dan hadirat sekalian,..Majlis pada pagi yang berbahagia ini akan dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang akan disampaikan oleh adik Syafiqa Syahrifin Binti Ismail dan ditafsirkan oleh adik Ain Wahida Binti Hasham. Majlis dengan ini mempersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Qari dan Penterjemah atas bacaan ayat suci al-Quran itu tadi. Seterusnya bagi memberkati majlis, dengan ini pihak majlis menjemput dan mempersilakan Ustaz Pornomo Bin Abu untuk membacakan doa. Dipersilakan ustaz.

Amin Ya Rabbulalamin. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Pornomo Bin Abu di atas bacaan doa itu tadi. Semoga dengan bacaan doa oleh beliau itu tadi majlis kita akan dapat berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Tindakan : Mohd Ismail Bin Sulaiman

Masa : 9.00 Pagi
Que : Bacaan Berzanji dan Marhaban
Makluman : Bagi meneruskan majlis, dengan ini dipersilakan Kumpulan Pelajar Darjah Khas Sekolah Agama Bandar Renggam untuk mempersembahkan bacaan Berzanji, diikuti marhaban dan selawat ke atas Nabi. Untuk itu, diminta para hadirin dapat berselawat bersama-sama. Dipersilakan.
Tindakan : Mohd Alhafiz Bin Sirat

Masa : 9.20 Pagi
Que : Ceramah
Makluman : Terima kasih diucapkan kepada kumpulan pelajar Darjah Khas atas persembahan itu tadi. Tanpa melengahkan masa, marilah kita bersama-sama mendengar dan menghayati ceramah Maulidur Rasul yang akan disampaikan oleh Ustazah Hamidah Binti Musa yang diundangkan khas dari Sekolah Agama Taman Desa. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
Tindakan : Mohd Ismail Bin Sulaiman

Masa : 10.30 Pagi
Que : Selesai ceramah
Makluman : Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Ustazah Hamidah Binti Musa di atas ceramah yang telah disampaikan oleh beliau itu tadi. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan panduan berguna daripada ceramah tersebut.
Tindakan : Mohd Alhafiz Bin Sirat

Masa : 10.35 Pagi
Que : Penyampaian cenderahati
Makluman Kini majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati. Sebagai tanda penghargaan daripada pihak majlis pada pagi ini. Majlis menjemput dan mempersilakan yang berusaha Puan Guru Besar Ustazah Ruslinah Binti Kamsan untuk menyampaikan cenderahati kepada tetamu jemputan. Dipersilakan.

Dipersilakan dengan segala hormatnya Ustazah Hamidah Binti Musa untuk menerima cenderahati daripada pihak majlis.
Tindakan : Mohd Ismail Bin Sulaiman

Masa : 11.00 Pagi
Que : Selesai majlis
Makluman : Alhamdulillah, dengan berakhirnya majlis penyampaian cenderahati itu tadi , maka sempurnalah sudah majlis pada hari ini iaitu Majlis sambutan Maulidur Rasul 2007 Sekolah Agama Bandar Renggam.

Pihak majlis memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya sepanjang perjalanan majlis pada hari ini berlaku sebarang kekurangan dan kesilapan sama ada yang disengajakan atau tidak.

Pihak majlis juga mengucapkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Y.B. Tuan Hj. Onn Bin Mohd Yasin di atas kesudian meluangkan masa hadir ke majlis ini walaupun sibuk dengan urusan sebagai wakil rakyat. Tidak lupa juga kepada Pegawai Pendidikan Agama Daerah Kluang Tuan Hj. Musa Bin Omar yang sudi hadir ke majlis pada pagi ini. Terima kasih juga diucapkan kepada para penderma yang sudi menderma bagi memastikan majlis ini berjalan dengan jayanya.

Sebelum bersurai, majlis menjemput Tuan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Renggam untuk mengiringi dif-dif jemputan ke bilik jamuan. Sementara itu, ibu bapa dan para pelajar diminta menjamu selera di tempat yang telah disediakan berhampiran dewan ini. Dipersilakan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan.

Sekian sahaja semoga berjumpa lagi, Insya Allah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tindakan : Mohd Alhafiz Bin Sirat

1 comments:

DHIYAUDDIN JALAL said...

Wah, hati pun senang..

Post a Comment